sejarah sekolah

 

1982 : Sekolah Menengah Persekutuan Agama Labu (SMAPL) Ditubuhkan

Sekolah Menengah Persekutuan Agama Labu (SMAPL) merupakan salah sebuah Sekolah Berasrama Penuh Aliran Sains Agama. SMAPL ditubuhkan pada Januari 1982 atas cadangan Pengarah Pendidikan Islam di Kementerian Pendidikan Malaysia pada waktu itu, Tan Sri Datuk Paduka Dr Abdul Hamid Othman (Allahyarham). Idea ini muncul kerana kesedaran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada ketika itu untuk membina sekolah agama Islam di Kuala Lumpur. Selepas cadangan itu diterima oleh kerajaan, sekolah itu diberikan nama sebagai  Sekolah Menengah Agama Wilayah Persekutuan (SMAWP). 

Sejarah penubuhan sekolah ini agak menarik dan unik kerana semasa sekolah ini ditubuhkan ia tidak mempunyai bangunan sendiri. Oleh itu pelajar-pelajar sulungnya iaitu Tingkatan 1, 4 dan 6 yang seramai lebih kurang 500 orang telah ditumpangkan di Kolej Islam Kelang, Selangor hingga akhir tahun 1982. Ketika itu tenaga pengajarnya hanyalah seramai 40 orang di bawah pimpinan pengetua pertama, Tuan Haji Muhammad Hj Shafie. Walaupun dalam keadaan menumpang, namun sekolah ini berjaya membentuk sekolah berpendidikan ke arah Islam sebagaimana yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan dan rakyat Malaysia.

 

1983 : Berpindah ke Petaling Jaya

Pada awal Januari 1983, SMAWP telah berpindah ke Petaling Jaya dan telah ditempatkan di bangunan sementara yang yang terletak dalam kawasan Universiti Islam Antarabangsa.

 

1985 : Prestasi Sekolah Dipertingkatkan

Pada tahun 1985 sekolah ini telah menerima pengetua baru iaitu Tuan Haji Mohd Yusof Abu Bakar. Beliau berkhidmat hingga akhir tahun 1985. Pada tahun ini juga SMAWP telah menempa nama sebagai Johan Bahas Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri. Di bawah khidmat pengetua ketiga, Tuan Haji Mohd Yusof Bin Haji Ahmad (Dato’), prestasi sekolah terus dipertingkatkan.

 

1987 : Berpindah ke Labu, Seremban

Kementerian Pendidikan telah berusaha mendirikan bangunan di Wilayah Persekutuan, namun tidak berhasil. Sebagai alternatif, Kementerian Pendidikan telah memindahkan SMAWP ke Labu, Seremban pada April 1987. Sekolah ini diberi nama baru sebagai Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP).

 

 

1989 : Perasmian Sekolah

Pada bulan Julai 1989, SMAP telah dirasmikan oleh Paduka Seri Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan Al-Marhum Tuanku Ja’afar Ibni Al Marhum Tuanku Abdul Rahman. Di bawah pimpinan Allahyarham Tuan Haji Mahmud bin Mohd Rashid yang meneraju 73 orang tenaga pengajar dan sejumlah 1000 orang pelajar mula menunjukkan kejayaan sehingga menarik minat Universiti Islam Antarabagsa (UIA) dan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan untuk dijadikan sebagai sekolah anak angkat.

Seterusnya pada 16 Jun 1989 sekolah diterajui pengetua baru iaitu Tuan Haji Abu Bakar bin Lebai Mat dengan membawa banyak perubahan dan pencapaian sehingga ke peringkat kebangsaan. Beliau kemudian berpindah ke Maktab Perguruan Islam Bangi pada tahun 1993.

 

1994 – 1998 : Sekolah Menempa Nama dalam Pelbagai Bidang.

Pada 17 Disember 1994, pengetua seterusnya, Tuan Hj Abdul Rahman bin Halim memimpin SMAPL ke rekod kebangsaan pertamanya dengan menghasilkan SMAPL sebagai sebuah sekolah pertama di Malaysia yang memperoleh 100% calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berjaya mendapat Gred 1. Beliau kemudiannya digantikan oleh Tuan Hj Paiman bin Jemo, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) ketika itu kerana Tuan Hj Abdul Rahman ditawarkan jawatan utama di Maktab Perguruan Islam Bangi.

SMAPL diteruskan di bawah kepimpinan Tuan Hj Paiman bin Jemo, yang diketahui menekankan aspek penting untuk membangunkan dan mengiktiraf SMAPL sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan. Semasa beliau berkhidmat iaitu pada tahun 1997, Dato ‘Seri Najib Tun Razak (Menteri Pendidikan pada ketika itu) telah hadir ke SMAPL untuk mengumumkan keputusan SPM 1996. Pada tahun yang sama, SMAPL dianugerahkan gelaran Juara Berganda dan seterusnya diumumkan sebagai sebuah sekolah terbaik untuk peperiksaan SPM dan STPM pada tahun 1996. SMAPL juga terus melestarikan rekod dengan kekal sebagai sekolah pertama di Malaysia yang mempunyai 100% calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berjaya mendapat Gred 1 selama tiga tahun berturut-turut iaitu bagi tahun 1996, 1997 dan 1998.

SMAPL terus mengorak kejayaan sebagai sebuah sekolah berasrama penuh yang digeruni ketika itu dengan menempa nama dalam pelbagai bidang.

 

1998 – 2004 : Pegetua Paling Lama Berkhidmat

Pada tahun 1998, Tuan Hj Mat Yunoh bin Hj Dollah menggantikan Tuan Hj Paiman bin Jemo dan menjadi pengetua dari tahun 1998 sehingga tahun 2004. Tuan Hj Mat Yunoh adalah merupakan Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar (PKHEM) di SMAPL sebelum dilantik sebagai pengetua.

Pada tahun 2002, SMAPL telah memperolehi perlaksanaan pembinaan bangunan tiga tingkat untuk makmal Biologi, bengkel untuk Pengajian Kemahiran Hidup, kelas Tingkatan 1 dan juga Studio KeSenian dan Kebudayaan Islam.

 

2004 – 2007 : Sekolah Menerima Pengetua Perempuan

Tuan Haji Abdullah Bin Endut menggantikan pengetua yang bersara pada tahun 2004 yang merupakan Penolong Kanan Akademik ketika itu. Selepas bertukar, SMAP diterajui pula oleh Pengetua Cemerlang JUSA C, Puan Hajah Khuzaimah Bt Haji Sulaiman yang juga merupakan pengetua perempuan yang pertama pada tahun 2005 sehingga 13 Mac 2007. SMAP Labu di bawah pimpinan Pengetua Cemerlang terus berusaha mengembalikan kegemilangan SMAP.

 

2007 – 2011 : Kegemilangan dan Kecemerlangan Sekolah

Pada April 2007, Puan Hajah Radziah binti Abdul Samad dilantik sebagai pengetua ke-11. Beliau terus melestarikan usaha kegemilangan dan SMAP Labu terus mencatat sejarah apabila menghasilkan pelajar terbaik SPM 2009 peringkat kebangsaan iaitu Khadijah binti Ahmad Jais yang memperolehi pencapaian 11 A+. Seterusnya pada tahun 2011 SMAP Labu telah dinobatkan anugerah berganda iaitu pada April 2011 menerima Anugerah Sekolah Kluster Kecemerlangan dan kemudian pada Mei 2011 menerima Anugerah Sekolah Berprestasi Tinggi. Pada tahun 2011 juga SMAP Labu telah berjaya mencatat rekod terbaik pencapaian SPM iaitu memperolehi Gred Purata Sekolah 1.45 dan menghasilkan 3 pelajar 11 A+ dan 49 pelajar semua A. Hasil daripada keputusan yang cemerlang ini, pada tahun 2012 SMAP Labu telah menerima Anugerah Tawaran Baru Pengetua (BAI’AH) Kementerian Pelajaran Malaysia. Pada tahun 2013 juga SMAP Labu sekali lagi menerima Anugerah Tawaran Baru Pengetua (BAI’AH)